Kenali Abu Hurairah R.A


Abu Hurairah; Perawi Hadith terkemuka

Riwayat: Bukhari

Hadith:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW: "Saya mendengar banyak hadis dari tuan, Ya Rasulullah! Tetapi saya lupa." Rasulullah SAW bersabda: "Hamparkan Rida' mu. Aku melakukan (apa yang diperintahkan Nabi SAW) dan kemudian Nabi SAW menggerakkan kedua-dua tangannya seakan-akan mengisi sesuatu lalu bersabda : "Ambil dan selendangkan ini (pada tubuh mu)." Aku lakukan perintahnya dan setelah itu aku tidak pernah lupa lagi."

Huraian Hadith:

Abu Hurairah ialah salah seorang perawi hadith yang terkemuka. Beliau dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Nama sebenar beliau sebelum memeluk agama Islam tidak diketahui dengan jelas, tetapi pendapat yang masyhur ialah Abd Syams. Nama Islamnya adalah Abd al-Rahman. Beliau berasal daripada kabilah ad-Dusi di Yaman.

Gelaran Abu Hurairah RA. adalah kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing. Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah RA. bertemu Rasullullah SAW, beliau ditanya oleh baginda apakah yang ada dalam lengan bajunya. Apabila dia menunjukkan anak kucing dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah oleh Rasullullah SAW. Semenjak itu dia lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah.

Beliau adalah sahabat yang sangat dekat dengan Rasulullah SAW dan dikenali sebagai salah seorang ahli suffah, iaitu orang miskin atau sedang menuntut ilmu dan tinggal di laman masjid. Beliau begitu rapat dengan Nabi SAW sehingga baginda selalu menyuruhnya mengumpulkan ahli suffah jika ada makanan yang hendak dibahagikan. Hadith beliau yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim berjumlah 325 hadith, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadith dan oleh Muslim 189 hadis. Hadith yang diriwayatkan oleh beliau juga terdapat dalam kitab-kitab hadith lainnya.

Leave a Reply